Wednesday, August 3, 2011

Surah Luqman

1: Alif, Lam, Mim.

2: Inilah ayat-ayat kitab al-Hakim (yang mengandung hikmah). 3: Petunjuk dan rahmat bagi orang muhsinin (yang berbuat kebaikan). 4: (Iaitu) orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka yakin akan akhirat. 5: Mereka itulah orang yang mendapat petunjuk daripada Rab (Tuhan) mereka, dan mereka itulah orang yang beruntung.

Permulaan surah ini dimilakan dengan memberitahu Al-Quran ini ialah kitab yang mengandungi pelbagai hikmah untuk golongan yang berbuat kebaikan. Diterangkan pula siapa orang muhsinin ini : iaitu orang yang sentiasa bersolat, berzakat dan yakin
wujudnya akhirat.

6: Dan antara manusia ada orang yang membeli (mempergunakan) cerita yang sia-sia untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan Allah tanpa pengetahuan, dan menjadikannya olok-olok. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan. 7: Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami (Allah), dia berpaling dengan menyombongkan diri, seolah-olah dia tidak mendengarnya, seakan-akan ada penyumbat pada kedua-dua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan azab yang pedih.

Tetapi tetap wujud golongan yang suka permainkan ayat-ayat suci ini dan menyesatkan golongan lain. Mereka juga golongan yang sangat sombong dengan mengendahkan ayat-ayat Allah. Dan mereka pasti diberi azab yang berat.

8: Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka syurga yang penuh kenikmatan. 9: Kekal mereka di dalamnya; (sebagai) janji Allah yang benar. Dan Dia (Allah) adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).

Dan Janji Allah itu benar. Syurga itu memang telah disediakan untuk golongan yang beriman dan beramal soleh.

10: Dia (Allah) menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya, dan Dia (Allah) meletakkan gunung-gunung di atas bumi mengukuhkan kamu; dan Dia (Allah) membiakkan padanya (bumi) pelbagai jenis binatang. Dan Kami (Allah) turunkan air dari langit, lalu Kami (Allah) tumbuhkan padanya pelbagai jenis ( tumbuh-tumbuhan) yang baik. 11: Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah kepadaku apa yang telah diciptakan oleh yang selain Dia (Allah); bahkan orang yang zalim itu dalam kesesatan yang nyata.

Sedarilah bahawa langit yang tidak bertiang dan bumi yang dikukuhkan oleh gunung ganang dicipta oleh Allah SWT. Air hujan, binantang dan tumbuhan yang menjadi perhiasan bumi juga dicipta oleh Allah SWT. Maka bolehkah berhala orang-orang sesat itu dapat mencipta sedemikian? Maka mereka ini sememangnya golongan yang sesat yang nyata.

12: Dan sesungguhnya telah Kami (Allah) berikan hikmah kepada Luqman, bahawa bersyukurlah kepada Allah, dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah adalah al-Ghaniy (Maha Kaya), lagi al-Hamid (Maha Terpuji).

Luqman telah diberi hikmah daripada Allah dengan ilmu yang luas atas kesyukuran beliau kepada Allah. Sesiapa yang bersyukur maka, ia bersyukur untuk dirinya. Tetapi bagi yang kufur, ia tidak memberi sedikit kesan pun kepada Allah.

13: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, dan dia memberi pelajaran kepadanya: "Wahai anakku! Janganlah kamu syirik (mempersekutukan) dengan Allah, sesungguhnya syirik adalah kezaliman yang besar."
14: Dan Kami (Allah) mewasiatkan kepada manusia terhadap kedua-dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan memeliharanya (menyusunya) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku (Allah) dan kepada kedua-dua orang ibu bapa kamu, kepada-Ku (Allah) tempat kembali.
15: Dan jika kedua-duanya memaksa kamu berbuat syirik (mempersekutukan) dengan Aku (Allah), yang tidak ada pengetahuan kamu tentang itu, maka janganlah kamu mentaati kedua-duanya, dan bergaullah dengan kedua-duanya di dunia secara baik Dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku (Allah), kemudian kepada-Ku l(Allah) tempat kembali kamu, maka Aku (Allah) beritahukan kepada kamu apa yang kamu kerjakan.

Luqman menasihatkan anaknya secara berperingkat. yang paling utama sekali. Beliau menegaskan kepada anaknya jangan sesekali menyirikkan Allah SWT kerana syirik itu adalah satu kezaliman.
Kemudian Beliau menasihatkan anaknya agar menyayangi dan menghormati ibu bapa yang telah membesar dan menyusukan mereka. Maka bersyukurlah kepda Allah dan ibu bapa. Tetapi sekiranya ibu bapa memaksa mensyirikkan Allah, maka ingkarlah dan bergaullah dengan baik. Kerana kepada Allah tempat kembali.

16: (Luqman berkata): "Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada seberat biji sawi, berada dalam batu atau di langit atau di bumi, Allah akan mendatangkannya. Sesungguhnya Allah adalah al-Latif (Maha Halus), lagi al-Khabir (Maha Mengerti).”
17: “Wahai anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan makruf (yang baik) dan cegahlah daripada perbuatan mungkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang ditetapkan (diwajibkan).”
18: “Dan janganlah engkau memalingkan muka engkau daripada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
19: “Dan sederhana dalam kamu berjalan, dan lunakkan suara kamu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

Biarpun dosa seberat biji sawi, Allah tetap hitungkan. Dinasihatkan lagi kepada anaknya agar sentiasa solat dan mengerjakan makruf dan tinggalkan yang mungkar, lakukanlah dengan penuh kesabaran kerana perkara itu telah diwajibkan. Dan jangan sesekali angkuh dan sombong kerana Allah tidak suka golongan sedemikian. Berjalanlah dengan perlahan yakni kurangkan bunyi ketika berjalan dan janganlah memburukkan suara sendiri. Seburuk-buruk suara adalah suara keldai.

20: Tidakkah kamu perhatikan, sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk kamu apa yang di langit dan apa yang di bumi, dan menyempurnakan untuk kamu nikmat-Nya (Allah) lahir dan batin. Dan antara manusia ada yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, dan tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang memberi penerangan.
21: Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang diturunkan Allah". Mereka menjawab: "Bahkan kami mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami atasnya.” Bagaimana kalau syaitan menyeru mereka kepada azab Neraka Sa’ir (api yang menyala-nyala)?

Sedarkah kita bahawa Allah telah memberi nikmat kepada kita yang ada di langit dan di bumi? Segala yang ada di langit dan di bumi ini telah memberi kita kesenangan untuk hidup di dunia ini. Tetapi wujud juga golongan yang tidak menerimanya kenyataan ini tapa ilmu dan petunjuk. Mereka masih berdegil dan mengikut ajaran nenek moyang mereka biarpun telah diseru untuk bersujud kepada Allah. Adakah mereka ini sanggup ke neraka jika syaitan (yakni jika nenek moyang mereka diseru oleh syaitan) mengajak mereka ke sana?

22: Dan sesiapa aslim (menyerahkan) wajahnya kepada Allah, sedang dia adalah muhsin (orang yang berbuat kebaikan), maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allah kesudahan segala urusan.

23: Dan sesiapa kufur, maka janganlah menyedihkan engkau kekufurannya itu. Kepada Kami (Allah) mereka kembali, lalu Kami (Allah) beritahukan kepada mereka apa yang mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui) akan apa yang dalam dada..

Sesungguhnya orang yang aslim telah berpegang kepada tali Allah. Bagi yang kufur, kepada Allah juga dia kembali dan setiap yang dikerjakan oleh dia akan diberitahu.

24: Kami (Allah) biarkan mereka bersenang-senang sebentar, kemudian Kami (Allah) paksakan mereka kepada azab yang keras.

Allah hanya memberi kesenangan yang singkat untuk golongan yang kufur ini dan akan dipaksa untuk menerima azab yang berat kelak (biarpun di dunia atau di akhirat).

25: Dan jika engkau tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah!" Katakanlah: "Alhamdulillah (segala puji bagi Allah)!" Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

26: Kepunyaan Allah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah, Dia (Allah) adalah al-Ghaniy (Maha Kaya), lagi al-Hamid (Maha Terpuji).

Masih lagi ramai yang tidak mengetahui Allah yang mencipta dan memiliki alam ini. Dan bagi yang mengetahui, bersyukurlah.

27: Dan seandainya apa yang ada di bumi daripada pohon-pohon dijadikan pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi), tidaklah akan habis (ditulis) kalimah Allah. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).

Biarpun pohon-pohon ini menjadi pena dan air laut dijadikan dakwat untuk menulis kalimah Allah, nescaya tidak cukup biarpun ditambah lagi 7 laut.

28: Tidaklah penciptaan kamu, dan tidak (pula) kebangkitan kamu, melainkan hanyalah seperti satu jiwa sahaja. Sesungguhnya Allah adalah al-Sami’ (Maha Mendengar), lagi al-Basir (Maha Melihat).

terjadinya kita di dunia dan bangkitnya kita di akhirat adalah sebagai satu jiwa sahaja.

29: Tidakkah engkau memperhatikan, bahawa Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, dan Dia (Allah) menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan Dan sesungguhnya Allah terhadap apa yang kamu kerjakan adalah al-Khabir (Maha Mengerti).

Siang berganti malam kerana matahari dan bulan menjalani tanggungjawab mereka hanya kerana Allah.

30: Demikianlah, kerana sesungguhnya Allah, Dia (Allah) adalah al-Haq (Yang Benar), dan apa yang mereka seru selain Dia (Allah), adalah batil (salah). Dan sesungguhnya Allah, Dia (Allah) adalah al-‘Aliyy (Maha Tinggi), lagi al-Kabir (Maha Besar).
31: Tidakkah engkau memperhatikan, bahawa kapal berlayar di lautan dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan kepada kamu sebahagian daripada tanda-tanda-Nya (Allah). Sesungguhnya pada yang demikian itu (terdapat) tanda-tanda bagi setiap orang yang sabar lagi bersyukur.

Mudah kapal berlayar di lautan kerana nikmat Allah, bagi golongan yang bersabar dan bersyukur pasti dapat melihat kebesaran dan tanda-tanda Allah.

32: Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan mengikhlaskan al-din (agama) kepada-Nya, tetapi tatkala Dia (Allah) menyelamatkan mereka ke daratan, lalu (hanya sebahagian) antara mereka tetap berhati-hati (pada jalan yang lurus). Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami (Allah) selain orang yang tidak mengenang jasa lagi kufur.

Allah menguji keimanan mereka dengan melambungkan ombak yang tinggi. Takala dalam kesusahan mereka beriman, tetapi apabila telah diselamatkan, hanya segelintiran daripadanya yang berpegang teguh kepada keimanan dan yang selebihnya kufur dan tidak mengenang jasa.

33: Wahai manusia! Bertakwalah kepada Rab (Tuhan) kamu, dan takutlah suatu hari yang seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan janganlah kamu diperdayakan terhadap Allah oleh yang memperdayakan.

Sesungguhnya sedarlah kita bahawa di hari pembalasan, tiada seorangpun yang dapat membantu kita melainkan diri kita sendiri. Janji Allah itu benar. Jangan biarkan kehidupan di dunia ini memperdayakan kita.

34: Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya (Allah) sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui apa yang dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui apa yang akan diusahakannya besok, dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Khabir (Maha Mengerti/Mengenal).

Dialah Allah yang mengetahui segala-galanya - hari kiamat, turunkan hujan, kejadian di dalam rahim. Tiada seorangpun yang tahu apa yang akan dikerjakan dia hari esoknya dan dia tidak akan tahu dimana tempat dia mati kecuali Allah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails